Lima termasuk wanita ditahan

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Lima suspek termasuk seorang wanita ditahan disyaki terlibat kes pecah rumah, samun dan curi kenderaan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, bertindak atas maklumat pecah rumah, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) membuat pemerhatian ke atas tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, semalam.


“Ketika cuba menghampiri, wanita terbabit telah cuba melarikan diri ke dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera, namun berjaya ditahan pasukan serbuan.


“Dua daripada tiga lelaki terbabit juga telah cuba bertindak melarikan diri ke dalam kereta jenis Proton Wira, tetapi berjaya ditahan. Seorang lelaki berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mohd Taib berkata, pemeriksaan ke atas lelaki pertama berusia 48 tahun dan beg silang di badannya menemui sejumlah besar wang tunai dan sekeping lesen miliknya.


“Turut dirampas dari lelaki ini adalah barang kemas dan jam tangan.


“Pemeriksaan ke atas lelaki kedua berusia 44 tahun membawa kepada penemuan tiga kad keahlian, satu kad pengenalan dan satu lesen memandu milik suspek yang melarikan diri,” katanya.


Beliau berkata, semakan terhadap kereta Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek lelaki itu mendapati ada laporan kehilangan di Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah.

Kereta yang dirampas.


“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta menemui pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.


“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah pula menemui pelbagai barang disyaki hasil daripada kegiatan pecah rumah.


“Turut dijumpai di dalam rumah tersebut, sebuah beg galas di dalamnya mengandungi satu lesen memandu bersabit repot Kulai. Selain itu, ditemui juga pelbagai jenis beg tangan dan beg duit bersama mata wang asing,” katanya.


Mohd Taib berkata, semakan mendapati wanita terbabit berusia 30 tahun mempunyai rekod dikehendaki bersabit laporan di bawah Akta Dadah Berbahaya, manakala dua lelaki itu tiada sebarang rekod dikehendaki.


“Ketiga-tiga suspek ditahan,” katanya.


Beliau berkata, dipandu arah oleh suspek wanita yang ditahan lebih awal, polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Kempas Baru, dekat Tampoi, di sini, hari ini.


“Hasil serbuan, dua lelaki berusia masing-masing 41 dan 43 tahun ditahan dan polis merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara.


“Semakan ke atas kad pengenalan dua lelaki ini mendapati salah seorang daripadanya mempunyai kesalahan jenayah bersabit repot di Taiping di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]