Maut tercampak dari lori

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JASIN – Seorang lelaki maut tercampak di atas jalan selepas lori dinaiki bersama rakannya merempuh bahagian belakang sebuah lori lain di Kilometer 184.3 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, pagi tadi.


Mangsa, Dash Manoj, 25, juga warga Nepal maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah dialami di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa bersama pemandu lori berusia 25 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Rawang, Selangor menuju Johor Bahru sebelum berlaku perlanggaran tersebut.


“Mangsa dan rakannya yang juga berusia 23 tahun itu menaiki lori jenis Hino muatan makanan dan minuman ringan sebelum melanggar belakang sebelah kanan sebuah lagi lori jenis Volvo.


“Lori Volvo tersebut dipercayai rosak dan diletakkan tanpa triangle cone di lorong kecemasan.” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.


Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari lori lalu meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat.


“Rakan mangsa juga pemandu lori yang turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori Volvo tiada di tempat kejadian.


“Pengguna lebuh raya yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor G Gunaaseellan  di talian 06-5292222.


Arshad  berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]