MOA perkenal dua varieti padi baharu

in Edisi by


TANJONG KARANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengisytiharkan dua varieti baharu padi iaitu padi Mardi Sempadan 303 dan Mardi Sebernas 307.


Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pengisytiharan dua varieti ini mampu membantu pesawah khususnya kawasan Jelapang Padi Selangor untuk meningkatkan hasil padi pada masa akan datang.


Menurutnya, pelancaran dua varieti yang mampu mencapai tempoh matang lebih cepat itu selari dengan usaha kerajaan bagi memajukan industri padi dan beras negara.


“Tahniah kepada Mardi berjaya menghasilkan varieti baharu selepas kajian lebih 20 musim… Sudah tentu kita terhutang budi yang berusaha membangunkan industri padi dan beras negara.


“Usaha ini juga membantu pesawah meningkat hasil mereka untuk musim akan datang,” katanya sempena Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Mardi di Blok I, Sawah Sempadan, semalam.


Ahmad Shabery berkata, hasil padi mungkin lebih tinggi dengan varieti baharu ini namun bergantung kepada faktor termasuk cuaca dan amalan penanaman yang baik.


“Hasil yang elok juga bergantung kepada kerajaan yang baik dan peka keperluan pesawah selain kemudahan kolam tadahan, subsidi baja dan racun yang disediakan cukup membuktikan keprihatinan luar biasa.


“Sebab itu, mengawal industri padi penting sebagai tonggak penting padi negara kerana kerajaan mahu elak lambakan beras luar yang dijual murah menjejaskan padi tempatan,” katanya.


Pengisytiharan kedua varieti baharu itu mampu menyumbang kepada kepelbagaian varieti padi dan  meningkatkan hasil pengeluaran.


Mardi Sempadan 303 diambil sempena nama Sawah Sempadan yang dibangunkan melalui kacukan varieti MR256 dengan varieti ulangan MR253 sejak 2005.


Varieti ini mampu mencapai tempoh matang yang singkat antara 104 hari sehingga 106 hari selain memberi tuaian tertinggi sehingga 10tan per hektar.


Rintang terhadap penyakit karah daun dan sederhana rintang kepada serangga perosak benah perang selain sesuai ditanam di kawasan kurang subur menjadi salah satu keistimewaan varieti ini.


Manakala bagi Mardi Sebernas 307, proses kacukan antara varieti MR256 dan P493. Selama 22 musim dinilai kualiti dan prestasi menunjukkan kerintangan sederhana terhadap serangan penyakit dan serangga perosak yang sama.


Potensi hasil mampu dicapai sehingga 10 tan per hektar dan boleh dituai dalam tempoh 107 hari sehingga 110 hari.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]