PDRM jangan memihak sesiapa

in Edisi Johor by


KLUANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus menjadi agensi yang menterjemah proses demokrasi di negara ini dengan tidak memihak kepada mana-mana pihak pada PRU14 nanti.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak polis telah mengenal pasti beberapa lokasi kawasan panas dan seramai 1,131 individu yang berkemungkinan mencetuskan kekecohan dalam tempoh PRU14 nanti.


“Arahan saya sangat jelas, supaya pihak berkuat kuasa tidak memihak, mereka harus menjadi agensi yang menterjemah proses demokrasi di negara ini.


“Polis akan memberi tumpuan kepada lokasi ‘hotspot’ dan ‘flashpoint’ yang telah dikenal pasti, selain 1,131 individu yang berkemungkinan mencetuskan kekecohan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Permuafakatan Pemimpin Bersama Rakyat.


Dalam majlis berkenaan, Ahmad Zahid turut merasmikan pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor fasa 5, penyampaian Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Kerajaan (RMMJ) daerah Kluang, pelancaran Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India di Batu 3, Jalan Mersing, Kluang, hari ini.


Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sekumpulan pegawai dan anggota polis telah dimobilisasikan ke kawasan berkenaan untuk melaporkan terus kepada Bukit Aman.


Beliau turut memberitahu bahawa pihak polis bertanggungjawab untuk memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh PRU14.


“Tiga perkara tersebut akan menjadi tumpuan polis, mereka bertanggungjawab untuk pastikan tiada insiden berlaku sebelum, semasa atau selepas tempoh pilihan raya,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]