Peniaga kantin ditahan miliki daun, air ketum

in Edisi Selangor KL by


SABAK BERNAM – Seorang peniaga kantin di sebuah sekolah berasrama penuh ditahan kerana memiliki daun dan air ketum dalam ‘Ops Sarang’ di sebuah rumah di Desa Kasih, Sungai Besar, di sini, malam semalam.


Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam menjalankan serbuan di rumah yang dihuni lelaki berkenaan.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan, Nor Azmi Isa berkata, hasil pemeriksaan polis menemukan kotak simpanan sejuk polisterin yang di dalamnya mengandungi ubat batuk di bahagian dapur rumah berkenaan.


“Ubat batuk itu digunakan suspek berusia 22 tahun itu untuk dicampur ke dalam air ketum terbabit.


“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut ditemukan tiga bungkusan air ketum mengandungi berat seliter sebungkus dengan nilai anggaran keseluruhannya RM30.


“Selain itu, polis turut merampas lapan ikat daun ketum dengan anggaran berat 1.5 kilogram bernilai RM80,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Sabak Bernam, di sini, pagi tadi.


Beliau berkata, suspek tidak memiliki rekod lampau dan kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.


“Suspek disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM10, 000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]