Polemik Nik Omar bakal selesai

in Politik by


KOTA BHARU – Polemik ‘pindah parti’ melibatkan anak bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar untuk menyertai Amanah akan diputuskan esok.


Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Amanah Negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dalam satu sidang media disini.


Menurutnya, berita mengenai polemik ‘pindah parti’ melibatkan pemimpin muda itu benar, memandangkan fikrah dan pemikiran memang sudah selari, cuma masih berbaki beberapa masalah teknikal melibatkan rundingan keluarga yang kini sedang diuruskan.


“Saya difahamkan esok mereka akan buat keputusan semuanya. Sekarang ini mereka dalam proses perbincangan dengan keluarga. Samada masuk Amanah atau tidak, kita tunggulah nanti,”katanya.


Polemik tukar parti melibatkan anak Tok Guru Nik Aziz tersebut semakin hangat menjelang PRU14 ini, bagaimanapun usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Nik Omar, gagal.


Ketika ditanya mengenai kemungkinan besar Nik Omar berdepan kekangan halangan keluarga, beliau berkata, semuanya masih terkawal dan ia akan dapat diselesaikan nanti.


Mengulas lanjut mengenai siapakah yang akan dinobatkan sebagai menteri besar jika Pakatan Harapan menang di Kelantan, Wan Rahim berkata, perkara itu masih belum diputuskan pihaknya dan proses perbincangan masih berlangsung.


“Sebelum ini Lim Kit Siang pernah beritahu, beliau sokong Husam Musa untuk jadi menteri besar. Tapi keputusan akhir kita belum putuskan.


“Sebelum ini pun Husam ada mencadangkan Nik Omar jadi menteri besar jika pemimpin itu berhijrah ke Amanah. Apa pun kita tunggu keputusan nanti, sebab ia masih diputuskan sepenuhnya,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]