Rangup di luar, lembut di dalam

in Edisi Pahang by


KUANTAN – ‘Baulu – kuih tradisional yang enak untuk dinikmati ketika minum petang atau di musim tengkujuh dengan hirupan bersama teh O panas semakin mendapat permintaan tinggi kerana sudah mula dinikmati tanpa mengira waktu.


Siapa sangka kuih tradisional seperti baulu yang dahulunya hanya dibeli pada musim perayaan semakin popular apabila pembuatan baulu turut dijadikan trend pilihan pasangan pengantin sebagai cenderamata kepada tetamu.


Bagi pengusaha baulu tradisional, Manahariah Abdullah, 52, dari Kampung Baru Ah Tong, Jalan Sungai Lembing, di sini, atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani memilih untuk mengekalkan pembuatan baulu secara tradisional berbanding cara moden yang menggunakan oven.


“Saya mula mempelajari pembuatan baulu ini daripada arwah nenek yang memang pakar dengan kuih muih tradisional sekitar tahun 90an dan merasakan melalui pembuatan secara tradisional bukan sahaja memberikan rasa lebih tulen dan sedap malah dapat memberikan kelainan pada masa sekarang.


“Dengan membuka kedai di tepi jalan dan membuat kuih baulu secara tradisional iaitu dengan membakarnya menggunakan api daripada sabut kelapa menjadikan ia satu yang sangat istimewa… secara tak langsung orang ramai lebih berminat untuk singgah membeli.


“Tambahan pula, di Kampung Ah Tong, Jalan Sungai Lembing memang ramai pelancong luar yang lalu-lalang jadinya mereka sangat teruja,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam pada itu, menurutnya, tidak sangka perubahan yang dilakukan dari berniaga di rumah ke gerai tepi jalan untuk menjual baulu memberikannya pulangan yang lebih berbaloi.


“Berbeza dengan pendekatan tujuh tahun lalu di mana saya menghantar produk baulu ke kedai-kedai dan hanya mengambil upah atas permintaan sahaja. Hasil keuntungan  tidak menentu kerana ada kalanya kurang memberangsangkan.


“Kebiasaannya di kedai lambat habis dan jika terlalu lama baulu akan rosak, malah jika hanya menunggu tempahan ia tidak sekata. Ada bulan tempahan banyak dan ada kalanya langsung tiada permintaan.


“Dengan berada di gerai, orang ramai boleh lihat sendiri cara pembuatannya… terhidu aroma baunya sahaja cukup membangkitkan selera,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]