Semak kesahihan, jangan mudah percaya

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Polis Johor menasihatkan orang ramai agar menyemak kesahihan berita diterima.


Malah orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan apa-apa berita di media sosial tanpa merujuk kesahihan berita tersebut.


Nasihat itu diberikan susulan tularnya mesej palsu kononnya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan hadir memberi bantuan di beberapa lokasi di negeri ini, termasuklah pasaraya Econsave Pontian.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihak IPD Pontian menerima makluman mengenai kehadiran orang ramai di pasaraya Econsave Pontian dalam jumlah yang besar sekitar jam 10 pagi semalam.


“Ia adalah ekoran tersebarnya mesej kononnya Tunku Mahkota Johor akan hadir memberi bantuan RM200 bagi membeli keperluan harian di situ.


“Hasil siasatan mendapati mesej tersebut adalah palsu, dan penyebaran mesej seumpama itu juga dikesan di beberapa lokasi lain di sekitar Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Mohd Khalil berkata, penyebaran berita, mesej atau maklumat palsu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Antiberita Tidak Benar 2018.


Katanya, Polis Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, pengendali media sosial atau portal berita yang menulis dan mengeluarkan sebarang artikel atau kenyataan palsu, menyakitkan hati, menjelikkan atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.


“Tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial.


“Pendakwaan mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap individu-individu ini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]