Taiping kini miliki 13 Tapak Warisan

in Edisi by


TAIPING – Bandar warisan Taiping kini mempunyai 13 tapak telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan di bawah Akta Warisan (Akta 645).


Setiausaha Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Borhan Abdul Halim berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, empat tapak diwartakan sebagai Tapak Warisan Kebangsaan manakala bakinya sebagai Tapak Warisan.


Menurutnya, terbaharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping pula telah diwartakan sebagai Tapak Warisan.


“Pihak MPT dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri sedang giat berusaha untuk menambah lagi tapak yang bakal diangkat sebagai Warisan dan Warisan Kebangsaan.


“Sehingga kini yang menjadi Tapak Warisan ialah Kota Ngah Ibrahim, Matang; Perpustakaan Awam Perak; Sekolah Menengah King Edward (VII)(I); Masjid Melayu Lama; Gereja All Saints; Muzium Perak, Penjara Taiping dan Bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Bengkel Jejak Warisan Taiping, di Dewan Teratai, Wisma Perbandaran Taiping, semalam.

SMK Convent Taiping kini menjadi satu lagi Tapak Warisan Taiping.


Dalam perkembangan berkaitan, Borhan berkata, MPT juga dalam perancangan dan pelaksanaan untuk menjayakan pelbagai pendekatan di sekitar bandar Taiping yang bakal menjadi kondusif kepada pembangunan warisan.


“Antaranya ialah melibatkan pelaksanaan ‘Middle Sized Electric Bus’ untuk lingkaran Jejak Warisan, Zon bebas kenderaan di Taman Tasik Taiping, Machinoeki, Taiping Bandar Mesra Usia, Pembangunan Bandar Selamat dan Rancangan Tempat daerah Larut Matang 2035 dan banyak lagi,” katanya.


Borhan berkata, kini Taiping semakin berkembang pesat, namun masih lagi berusaha memartabatkan pemeliharaan serta pemuliharaan khazanah warisan.


Mengulas lanjut, katanya, selain itu usaha penjenamaan semula dan pemuliharaan bandar Taiping sebagai bandar warisan juga sedang giat dilakukan melalui pembangunan perbandaran yang seimbang dan urus tadbir mapan menjelang 2020.


“Dalam usaha merealisasikan visi tersebut, MPT, semua stakeholder dan penduduk tempatan bersama-sama berganding bahu menjadikan Taiping sebagai bandar warisan.


“Pusat bandar yang lebih tersusun  dan jelas dengan karakter  kawasan warisan mengikut zon serta tema,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]