UKM tawar kursus integriti, rasuah

in Nasional by


BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil langkah proaktif dengan menawarkan kursus integriti dan rasuah dalam usaha memupuk kesedaran mengenai salah laku rasuah dalam kalangan pelajarnya.


Penyelaras kursus itu Prof Madya Dr Fazilah Idris berkata, kursus elektif yang ditawarkan melalui Pusat Citrauniversiti itu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak sebagai tenaga pengajar.


Beliau berkata, kursus yang mula ditawarkan tahun ini itu memfokuskan kepada pembelajaran berdasarkan pengalaman dan ia terbuka kepada semua penuntut ijazah sarjana muda.


“Setakat ini kami satu-satunya universiti yang menawarkan kursus sebegini kepada pelajar kerana menyedari ia penting untuk memberi kesedaran awal kepada mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas ditemui pada program Ceramah Interaktif: Tumbuk Rusuk, Duit Panadol yang disampaikan  bekas majistret Mohd Firdaus Ramlan di UKM, di sini, hari ini.


Pada program itu Mohd Firdaus berkongsi pengalamannya menjalani hukuman penjara akibat salah laku rasuah.


Beliau terpanggil untuk berkongsi pengalamannya ketika menghuni di sebalik tirai besi kepada masyarakat, terutamanya pelajar kerana baginya ’melentur buluh biarlah daripada rebungnya’.


“Tidak ada lagi pesalah rasuah yang tampil secara terbuka untuk berkongsi kisah mereka… saya kena lakukan perkara ini kerana tidak mahu anak-anak saya dan generasi akan datang melakukan perkara sama (terlibat rasuah),” katanya.


Mohd Firdaus yang dipenjarakan pada 2012 dan dibebaskan 2014 kini aktif dalam aktiviti pencegahan rasuah di seluruh negara dengan berkongsi pengalamannya serta menyampaikan ceramah di pelbagai institusi khususnya agensi kerajaan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]