Undian semakin rancak!

in Bisnes by


UNDIAN atas talian yang dilancarkan Proton menerusi Facebook yang menjemput orang ramai mengundi menamakan SUV pertamanya telah mendapat maklum balas lebih  69,000 pengguna Facebook  yang mengambil bahagian.


Manakala video yang dikongsikan bersama undian itu telah mendapat lebih daripada 165,000 tontonan.


Seramai lebih 1,000 pengguna berkongsi mengenai undian tersebut melalui halaman Facebook mereka, yang secara tidak langsung mendorong kepada peningkatan jumlah undian.


Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, SUV ini merupakan detik bermakna bagi Proton dan mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia.


“Kami tidak menjangkakan jumlah penyertaan sebanyak ini dalam jangka masa singkat dan amat terharu dengan perhatian ditunjukkan kepada SUV segmen premium pertama dihasilkan jenama automotif Malaysia ini,” katanya.


Katanya, oleh kerana tarikh pelancaran rasmi SUV semakin dekat, Proton akan menjalankan lebih banyak aktiviti pengenalan produk untuk membina kesedaran dan keterujaan dalam kalangan rakyat Malaysia.


“SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360o dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif, brek bantuan kecemasan automatik serta pelbagai lagi.


“Produk pertama yang dibangunkan bersama rakan niaga kami, Geely akan menjadi titik permulaan bagi barisan model baharu untuk syarikat, justeru kami ingin mengajak orang ramai menilai sendiri apa yang mereka boleh lihat tentang masa hadapan Proton,” katanya.


Sebagai tanda penghargaan kepada yang turut serta dalam undian ini, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada peserta.


Lima pemenang  dipilih berdasarkan makna terbaik di sebalik nama yang mereka undi dan pakej hadiah berupa  undangan eksklusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan  menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini terdapat pada SUV tersebut di litar ujian Proton di Shah Alam.


Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut.


Sekiranya nama yang mereka berikan terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama empat hari tiga malam ke Hangzhou dan Shanghai untuk dua orang termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely. Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV ini.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]