1,000 pelajar dijamin tempat ke IPT

in Edisi by


TANAH MERAH – Hampir 1,000 pelajar ditawarkan peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi seluruh negara sempena program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2018 peringkat Parlimen Tanah Merah, di sini, semalam.


Berita gembira itu diumumkan sendiri Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar ketika berucap pada majlis perasmian program berkenaan.


Menurutnya, tawaran itu khusus untuk semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 dari parlimen ini yang hadir pada program tersebut.


“Untuk hari ini (semalam), semua yang datang akan ditempatkan di institusi pengajian tinggi. Kita juga akan beri laluan khas untuk anak anggota polis dan tentera. Ini jaminan saya,” katanya.


Sahol Hamid berkata, Jelajah Pendidikan Bumiputera merupakan program khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memastikan tidak ada anak Melayu dan Bumiputera tercicir dalam pendidikan.


Menurutnya, pelajar yang hadir ditawarkan tempat melalui kemasukan laluan khas berbanding prosedur biasa yang memerlukan pelajar mengisi borang dan diproses mengikut merit.


“Kalau cukup syarat kemasukan, nama pelajar yang mohon melalui Jelajah Pendidikan Bumiputera ini akan dihantar terus kepada naib canselor institusi pengajian tinggi berkaitan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]