11 tahun tumpang rumah adik

in Edisi Johor by


LABIS – Seorang warga emas di Kampung Tenang, di sini, menyifatkan Rumah Ihsan Johor yang diterimanya sebagai hadiah tidak ternilai dari kerajaan kepadanya lebih-lebih lagi menjelang ketibaan bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.


Saniah Ahmad, 66, berkata, sebelum ini dia menumpang di rumah milik adiknya hampir 11 tahun selepas kematian suaminya, Omar Ibrahim disebabkan serangan jantung pada 2007.


“Makcik memang rasa gembira dan tidak sabar untuk tinggal di rumah sendiri selepas dimaklumkan oleh kepimpinan di sini bahawa makcik terpilih sebagai penerima Rumah Ihsan Johor pada hujung Mac lalu.


“Sebenarnya makcik bukan saja teruja, malah macam tak percaya kerana proses pembinaan rumah ini hanya mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada makcik yang mana keseluruhan proses sekitar seminggu sahaja,” katanya.


Saniah berkata kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan Rumah Ihsan Johor Ke-35 yang dirasmikan Ketua Umno Bahagian Labis, Mohd Azahar Ibrahim di Kampung Tenang, di sini, baru-baru ini.


Katanya, dia yang menjaga seorang anak OKU, Mohd Zaini Omar, 13, mengakui bukan sahaja selesa tinggal di rumah baharu tersebut, malah bersyukur kerana pemberian rumah tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti perabot serta kemudahan air dan elektrik.


“Makcik hanya bergantung kepada pendapatan hasil kebun getah yang tidak seberapa dan anak makcik turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung keperluan kami dua beranak,” katanya.


Sementara itu, Mohd Azahar berkata, Saniah merupakan satu-satunya penerima Rumah Ihsan Johor di kawasan Dun Tenang kerana setakat ini setiap kawasan Dun diperuntukkan hanya sebuah rumah tersebut sahaja,


“Rumah ini dibina secara gotong-royong oleh sukarelawan dan penduduk setempat menggunakan kaedah pasang siap serta memiliki tiga bilik tidur dengan kemudahan lain dan setiap rumah adalah bernilai sekitar RM50,000,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]