Bela nasib rakyat Melaka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Manifesto BN Melaka yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, ditafsirkan merangkumi semua aspek dan disifatkan rasional bagi membela nasib rakyat dalam tempoh lima tahun.


Adun Paya Rumput, Datuk Sazali Muhd Din berkata, perkara itu boleh dilihat menerusi kejayaan 100 peratus yang dicapai pada aku janji PRU13.


dan kali ini parti itu terus memperkasakan kebajikan rakyat dengan membentangkan lima elemen teras mewakili semua peringkat rakyat termasuk masyarakat Orang Asli.


“Banyak inisiatif yang akan diberikan kepada rakyat, ‘kami kata dan kami kota’ termasuk bantuan ‘one off’ kepada peladang, penternak dan nelayan.


“Apa yang boleh saya gambarkan, tidak ada pun golongan rakyat yang ketinggalan dan paling menarik penyediaan perkuburan berpusat pelbagai diberi perhatian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.


Malah menurutnya, ia tidak ketinggalan apabila aku janji itu turut fokus kepada Dun Paya Rumput dengan cadangan menambah kawasan rekreasi terbuka melalui tebus guna tanah di bekas tapak pelupusan sampah Krubong.


MAHADEVAN.


Sementara itu, Adun Taboh Naning, Datuk Latipah Omar berkata, manifesto itu adalah yang terbaik untuk rakyat lebih-lebih lagi lima tumpuan khusus termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) selain memperhebatkan wanita selaras dengan tahun memperkasakan wanita.


“Ini manifesto yang terbaik, kerana mengambil kira pandangan dan juga kehidupan rakyat hingga ke akar umbi dalam usaha bersama-sama mencipta kegemilangan.


“Ini yang BN mampu lakukan untuk memastikan kehidupan rakyat lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.


Bagi Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO, Datuk MS Mahadevan, manifesto itu disambut baik yang dilihat sebagai usaha menyediakan peluang pekerja kepada golongan muda sekali gus menyelesaikan masalah pengangguran.


“Paling memberangsangkan apabila BN juga akan menyediakan bantuan modal bagi membantu individu untuk memulakan perniagaan.


“Saya yakin manifesto yang hebat ini akan memberi kelebihan kepada BN untuk memastikan BN terus kekal menerajui kerajaan Melaka demi kehidupan rakyat yang lebih terjamin,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]