Dana beli van Perkim belum cukup

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Perkim Terengganu alu-alukan sumbangan bagi mengumpul dana untuk membeli sebuah van bagi memudahkan pertubuhan itu melaksanakan aktiviti.


Pengerusinya, Prof Dr Ramle Abdullah berkata, pihaknya telah melancarkan tabung sekitar Oktober tahun lalu bagi mengutip derma bagi tujuan tersebut, namun dana yang terkumpul masih belum mencukupi.


“Memandangkan Perkim mempunyai banyak aktiviti termasuk ziarah saudara baru atau saudara kita di daerah-daerah, kita sangat memerlukan kenderaan ini agar kita dapat bergerak lebih aktif.


“Jadi, Perkim Terengganu alu-alukan mereka yang prihatin sumbangan bagi mengumpul dana ini,” katanya.  


Beliau berkata, pihaknya menyasarkan dana sebanyak RM110,000 dikutip dalam tempoh enam bulan selepas tabung tersebut dilancar.


“Oleh itu, kutipan dibuat secara proaktif dan kerjasama ahli juga diharap akan dapat mempercepatkan lagi menzahirkan hasrat kita ini,” katanya.


Menurutnya, kepada pihak yang prihatin, mereka boleh menyalurkan sumbangan kepada Perkim Terengganu melalui akaun Bank Islam bernombor 13017010020031 atau menghubungi talian 012-9562798/019-7626262.


Beliau berkata, sebelum ini pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah menyumbang sebuah van tetapi kenderaan itu sudah dilupuskan kerana sudah tidak boleh digunakan.


Malah, ketika itu beliau sendiri turut menyumbangkan sebuah kereta pelbagai guna jenis Naza Ria untuk kegunaan pertubuhan itu tetapi ia juga sudah tidak sesuai untuk digunakan bagi perjalanan jarak jauh.


Mengulas lanjut, beliau mengakui ada aktiviti tidak dapat dijalankan dengan lancar disebabkan masalah tersebut dan ini mendorong pihaknya agar segera melakukan kutipan derma.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]