Janji BN kepada rakyat Hulu Terengganu

in Politik by


HULU TERENGGANU – Kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Hulu Terengganu kelmarin, bukan sahaja membawa khabar gembira bagi rakyat di daerah ini tetapi juga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Beliau mengumumkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu yang baharu bernilai RM150 juta akan dibina bagi menggantikan IPD sedia ada sekali gus beri lebih keselesaan kepada pegawai dan anggota polis.


Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi pembinaan sebuah masjid baharu di Kampung Pasir Dula serta sebuah pusat komuniti di Kampung Teris bernilai RM250,000.


Berita gembira itu diumumkan beliau sewaktu berucap bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Manifesto BN Terengganu dan Jentera Pilihanraya BN P038 Parlimen Hulu Terengganu di Dataran Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini.


Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman serta Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari.


Dalam ucapan juga, Ahmad Zahid turut mengumumkan kemudahan sebuah dewan baharu berhawa dingin di Parlimen Hulu Terengganu jika BN memenangi kesemua empat kerusi Dun dan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU14 ini.


“Apabila BN terus diberi mandat untuk memerintah dan jika di parlimen Hulu Terengganu ini capai menang besar 5-0, permohonan dewan besar untuk kemudahan dan keselesaan penduduk juga dapat dilaksanakan kelak.


“Bagi pastikan kemenangan itu, harus bekerja keras untuk kekal kerusi parlimen, tiga kerusi dun (Kuala Berang, Ajil dan Telemong) dan merampas kembali kerusi Dun Manir. Calon dipilih adalah yang terbaik,” katanya.


Sementara itu, terdahulu Ahmad Razif dalam ucapannya turut mengumumkan manifesto BN Terengganu melibatkan 20 touch points sekiranya rakyat masih terus memberi mandat kepada BN pada PRU14 ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]