Kumpul dana bina pusat rawatan, latihan Darussyifa’

in Edisi Johor by


MERSING – Pusat rawatan dan Latihan Darussyifa’ pertama di Johor kini dibuka di Wakaf Darul Quran, Mersing.


Pengasas Wakaf Darul Quran, Mohd Fauzi Ismail berkata, pusat itu menawarkan khidmat rawatan perubatan Islam secara percuma.


“Wakaf Darul Quran bekerjasama dengan Badan Kebajikan Darussyifa’ Malaysia untuk memberi perkhidmatan rawatan Islam secara percuma.


“Di Johor tak ada lagi pusat rawatan dan latihan Darussyifa’ jadi kita buka di Mersing,” katanya.


Menurutnya, pihaknya kini sedang giat mengumpulkan dana bagi membina bangunan dua tingkat untuk menempatkan pusat rawatan dan latihan di Wakaf Darul Quran yang terletak di Siapu, Mersing.


“Bagi memenuhi kedatangan orang ramai, kami perlu membina sebuah bangunan di dalam kawasan Wakaf Darul Quran. Setakat ini kita guna bangunan wakaf yang ada di sini tapi pembinaan bangunan pusat itu sedang dijalankan dengan anggaran kos RM25,000.


“Bangunan itu nanti kita akan buat dinding cermin untuk kekalkan konsep terbuka kepada orang ramai dan orang lain boleh tengok dari luar,” katanya.


Mengikut perancangan, bangunan pusat rawatan dan latihan yang bakal dibina itu juga akan diwujudkan Pelantar Cerapan Darul Falak.


“Pelantar Cerapan Darul Falak ini juga yang pertama di Johor. Di sini kita akan ajar cerapan hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijah.


“Selain itu, ia juga untuk mengukur arah kiblat, waktu solat dan imsak, takwim, gerhana, pasang surut, musim, cuaca dan sebagainya,” katanya.


Katanya, Wakaf Darul Quran juga menyediakan kelas mengaji bagi kanak-kanak dan dewasa, kelas hafazan, kelas tajwid dan taranum, kelas memanah serta kelas qasidah.


Orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan dana kepada Wakaf Darul Quran melalui akaun Bank Islam 01096010021767 atau akaun Maybank 101013343579.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]