Lebih 100 peluru berpandu dibedil ke Syria

in Global by


MOSCOW – RUSIA. Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya telah melancarkan lebih 100 peluru berpandu ke lokasi terpilih di Syria, hari ini.


“AS, Britain dan Perancis telah melancarkan lebih 100 peluru berpandu ke Syria dari laut yang ditujukan ke sasaran ketenteraan Syria dan kawasan penduduk awam,” menurut kenyataan kementerian yang dipetik agensi berita RIA Novosti.


Kenyataan itu menambah, pasukan udara Syria telah memintas serta menembak jatuh sejumlah besar peluru berpandu terbabit.


“Sistem pertahanan Rusia yang berada di wilayah Syria tidak digunakan bagi memintas serangan peluru berpandu tersebut,” katanya.


Sebelum itu, Moscow mendakwa tiada satu pun serangan Barat mengenai kawasan yang dilengkapi sistem pertahanan Rusia di sekitar pangkalan udara Hmeimim dan kemudahan tentera laut di Tartus.


Tentera Rusia mendakwa serangan peluru berpandu AS dan sekutunya dilancarkan dari Laut Merah serta pengebom strategik AS dari pangkalan al-Tanf di tenggara Syria.


AS, Britain dan Perancis mengumumkan operasi ketenteraan bersama terhadap kerajaan Syria seminggu selepas serangan kimia yang didakwa berlaku di luar Damsyik yang dikatakan telah meragut lebih 40 nyawa penduduk awam. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]