Tingkat kesedaran politik orang muda

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Inisiatif penubuhan Dana Sinar Harian Anak Muda Dalam Politik dilihat mampu memberikan impak meningkatkan kesedaran dan keterlibatan politik golongan muda untuk jangka masa panjang.


Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, inisiatif dana berkenaan bukan sahaja ruang menonjolkan gaya kepimpinan politik orang muda, malah secara tidak langsung mengubah situasi politik negara lebih dinamik dan matang.


“Kita wujudkan dana ini kerana kita tahu orang muda yang minat politik ada kekangan dari segi dana, jadi inisiatif ini dapat bantu mereka, beri peluang bertanding sebagai calon.


“Jika mereka kalah sekalipun, sekurang-kurangnya ada pengalaman, sudah boleh rancang langkah strategi untuk PRU seterusnya.


“Saya lihat kewujudan dana politik orang muda ini bukan sahaja beri ruang orang muda bertanding pada PRU14, malah dalam masa 20 tahun nanti kita dapat melihat keadaan dan corak kepimpinan politik yang baharu di tanah air,” katanya pada  program Agenda Awani: Malaysia Memilih, malam ini.


Menurutnya, sebagai permulaan dana itu akan  menaja 10 ahli politik muda berumur bawah 30 tahun, tanpa mengira parti politik termasuk calon bebas.


Selain bantuan dana, beliau berkata, calon terpilih juga akan diberikan sokongan dari aspek liputan media oleh Sinar Harian.


Menurutnya, calon yang menerima dana juga akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria khususnya idea dan corak politik dibawa, yang dilihat mampu menyumbang untuk rakyat dan politik negara.


“Saya berharap dengan penubuhan dana ini, orang muda boleh bawa budaya politik baharu dan matang, tiada lagi budaya politik maki hamun, fitnah dan sebagainya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]