TPM minta tambah tiga inisiatif dalam Manifesto BN Melaka

in Politik by


ALOR GAJAH – Tiga inisiatif tambahan diumumkan bagi menjanjikan suasana yang lebih kondusif dan memperkasakan 62 inisiatif Manifesto BN Melaka yang diumumkan malam tadi.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, tambahan itu termasuk jajaran Lebuh raya Persir Pantai Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Telok Mas iaitu dari Kuala Linggi (Melaka)-Banting ( Selangor)-Taiping (Perak).


Menurutnya, inisiatif kedua yang diumumkan bagi memperbanyakkan pekerjaan baharu di negeri ini dengan menyediakan 50,000 peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan pengangguran terutama dalam kalangan golongan muda dan lepasan siswazah termasuk menerusi Program Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) dalam tempoh lima tahun.


“Kita mendengar suara rakyat mahasiswa, mahasiswi yang mempunyai ijazah tapi lambat dapat pekerjaan, dalam program (inisiatif) ini mereka akan mendapat pekerjaan dan menyeru syarikat-syarikat yang tersenarai di bursa saham memberi peluang pekerjaan kepada mereka.


“Malah gaji pekerja mahir pekerja asing juga mestilah sama dengan gaji pekerja mahir anak muda negara ini,” katanya.


Ahmad Zahid berkata demikian ketika Pelancaran Manifesto BN Melaka di Dataran Keris, Alor Gajah, di sini malam tadi.


Hadir sama, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan  Ketua Bahagian Umno Alor Gajah, Datuk Ghafaar Atan.


Tambah Ahmad Zahid, selain itu, sebuah pembinaan litar lumba motosikal untuk anak muda di negeri ini akan direalisasikan bagi membendung gejala lumba haram.


“Anak-anak muda (motor) ini mereka bukan jahat, cuma mereka tiada tempat. Saya minta Melaka mencari kawasan yang sesuai untuk pembinaan ini,” katanya.


Sementara itu, Idris yang membentangkan 62 inisiatif berkata, ia dirangka setelah pihaknya berjaya menepati semua yang dimanifestasikan pada PRU13 dan ini akan terus memberi fokus kepada perancangan pembangunan jangka panjang rakyat negeri ini dengan tema “Bersama Mencipta Kegemilangan.


Menurutnya, manifesto yang memfokuskan lima teras itu termasuk belia berkemahiran, wanita diperhebat dan dimartabat, Orang Kelainan Upaya (OKU) – terjaga dan terbela, warga emas – dihormati dan dihargai dan teras kelima Masyarakat Orang Asli-berpendidikan dan berkemajuan.


“Aku janji kita dalam manifesto BN Melaka bermula dengan memberi keutamaan kepada semua golongan rakyat agar terbela,” katanya.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]