Umno tidak takut kerjasama Mahathir-Anwar

in Politik by


KLUANG – Umno tidak gentar sama sekali dengan kerjasama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gabungan pembangkang.


Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini kerana kerjasama kedua-dua mereka ketika dalam Umno sebelum ini telah terbukti gagal.


“Kita takut kerjasama Mahathir dengan Anwar? Kita dalam Umno dulu di mana kerjasama Mahathir dengan Anwar dalam Umno pun bila diuji gagal apatah lagi di luar, mudah sangat untuk dijawab.


“Jadi apa yang hendak kita takutkan kerana pada masa itu mereka berada dalam bahtera Umno sebagai presiden dan timbalan presiden, perdana menteri serta timbalan perdana menteri,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Warga Felcra Wilayah Johor Bersama Pemimpin di Paloh, dekat sini, hari ini.


Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Adun Paloh, Teoh Yap Kun.


Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan bekas Ketua Pembangkang, Anwar musykil mengapa Umno kononnya takut dengan gabungannya bersama Dr Mahathir.


Anwar dalam satu kenyataan melalui peguamnya dilaporkan berkata, pimpinan Umno menganggap kerjasama mereka sebagai satu perkara yang janggal kerana mereka telah bermusuhan begitu lama.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]