V Shem-Wee Kiong gagal pertahan emas

in Sukan by


HARAPAN untuk menambah koleksi emas acara badminton lebur apabila gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas pada separuh akhir di Sukan Komanwel 2018.


Pasangan pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu tewas kepada beregu England Marcus Ellis dan Chris Langridge 21-15, 16-21, 15-21.


“Selepas menang set pertama, kami tidak sangka pemain England menukar rentak permainan. Mereka juga bermain dengan baik hari ini,” kata V Shem.


Ini bermakna gandingan negara gagal mempertahankan emas yang dimenangi dalam acara beregu lelaki sejak tahun 1990 menerusi Jalani Sidek-Razif Sidek.


Untuk rekod, Cheah Soon Kit-Soon Beng Kiang meraih pingat emas pada 1994, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada tahun 1998, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002), Chan Chong Ming-Koo Kien Keat (2006), Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (2010) dan V Shem-Wee Kiong (2014).


Bagaimanapun, gandingan negara berpeluang menebus kekecewaan apabila bakal beraksi dalam penentuan pingat gangsa berdepan beregu Sri Lanka, Sachin Dias-Buwaneka Goonethileka dijangka petang ini.


Gandingan Sri Lanka sebelum itu tewas kepada Satwik Rankireddy-Chirag Chandrashekhar Shetty dari India 18-21, 10-21. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]