YUM berperanan kurangkan kadar kemiskinan

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA BELUD – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Yayasan Usaha Maju (YUM) iaitu badan pinjaman mikro di Sabah mempunyai peranan yang besar untuk menjayakan usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.


Beliau berkata dengan status sebagai badan amanah di negeri ini, YUM boleh mengakses pelbagai jenis sumber kewangan termasuk bantuan daripada kerajaan, swasta dan sektor korporat bagi meningkatkan jumlah dana pusingan pinjaman kepada rakyat.


“Motto YUM iaitu “Mencetus Potensi” sangat bertepatan kerana YUM percaya bahawa setiap individu termasuk golongan miskin mempunyai kemahiran dan potensi diri untuk melaksanakan serta menjayakan aktiviti komersial yang bersesuaian dengan kemahiran dan potensi ke arah membina kehidupan lebih baik.


“Berdasarkan kepada potensi diri dan keinginan untuk memperbaiki taraf hidup kekeluargaan yang ada pada setiap ahli, maka YUM tampil dengan program pembiayaan kewangan yang sesuai dan mudah diakses oleh kumpulan sasar, selain memberi bimbingan serta latihan dalam bidang ekonomi yang peminjam jalankan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Keluarga Ahli-Ahli YUM Cawangan Kota Belud, di sini hari ini.


Salleh berkata kejayaan ahli YUM dalam menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi di Kota Belud sangat dihargai.


“Kesungguhan dan keberanian menceburkan diri dalam perniagaan dan keusahawanan adalah suatu usaha yang terpuji khususnya dalam konteks meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kedua-dua bidang berkenaan di negeri ini,” katanya.


Sementara itu, Salleh berkata kesejahteraan keluarga adalah sangat penting dalam arus pemodenan dan kecanggihan teknologi pada masa kini kerana ia membawa impak ketara terhadap struktur sosial dan institusi keluarga pada masa kini.


“Oleh itu usaha memupuk generasi yang mapan dan berkualiti perlu dilakukan secara berterusan bermula dari di rumah, di mana semua anggota keluarga perlu berperanan dalam konteks kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara,” katanya.


Sehubungan itu, Salleh menyeru agar semua ibu bapa dan anggota masyarakat merancang dengan teliti perkembangan sikap anak masing-masing bagi mempersiapkan mereka dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran tertentu agar dapat menyumbangkan secara positif dan proaktif kepada pembangunan negara. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]