Amanah sangkal dakwaan Presiden Pas

in Politik by


PARIT BUNTAR – Amanah menafikan dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pemimpinnya pernah membawa usul mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak pada Muktamar 2015.


Sebaliknya, Presiden parti itu, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai rekaan untuk mengelirukan rakyat bagi melindungi agenda sebenar mereka iaitu cubaan menghalau ‘jebon-jebon’ dalam Pas.


Menurutnya, usul pemindaan bidang kuasa Majlis Syura Ulamak tidak pernah ditimbulkan pihaknya sebelum ini, malahan peletakan majlis itu sebagai badan tertinggi parti sudah diperjuangkan sejak zamannya menjadi pemimpin Pas lagi.


“Dakwaan (pinda perlembagaan Pas) itu hanyalah rekaan, yang tidak rekaan adalah rakaman audio suara (Ketua Pemuda Pas) Nik Abduh (Nik Aziz) yang menyatakan wang Umno digunakan untuk menghalau jebon-jebon daripada Pas.


“Malah hakikat sebenar siapa jebon-jebon itu ada disenaraikan dalam Muktamar Pas ketika itu,” katanya kepada media pada majlis pelancaran jentera pilihanraya dan pengumuman calon Harapan Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.


Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.


Mohamad berkata, paling penting ketika ini adalah Abdul Hadi perlu menjawab dakwaan mengenai rakaman audio suara Nik Abduh mendakwa pemimpin Pas menerima wang daripada Umno untuk menghalau ‘jebon-jebon’.


Menurutnya, Abdul Hadi perlu mengesahkan atau menafikan sama ada rakaman audio suara Nik Abduh itu memang wujud atau tidak memandangkan kenyataan dalam audio itu adalah bukti nyata mereka dipengaruhi Umno.


“Apa pun, saya ucapkan tahniah kepada Umno kerana telah berjaya memecahbelahkan Pas menggunakan wang, cash is king.


“Itu adalah kejayaan Umno paling hebat kerana mereka melihat hanya Pas satu-satunya parti yang boleh mencabar kekuatan mereka.


“Namun begitu, saya yakin Amanah dengan sokongan Harapan diketuai Tun Dr Mahathir (Mohamad) pastinya menghadirkan kejutan kepada Umno dan BN pada PRU14,” katanya.


Hari ini, Sinar Harian melaporkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan punca parti itu tidak boleh bekerjasama dengan Amanah, meskipun sebahagian besar pemimpinnya adalah bekas ahli Pas.


Katanya, pemimpin Pas yang menubuhkan Amanah ketika ini cuba membawa usul meminda perlembagaan Pas, bagi mengurangkan peranan Majlis Syura Ulamak sebagai badan tertinggi parti kepada badan penasihat.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]