Azmin perlu perjelas isu tuntutan Splash

in Edisi Selangor KL by


DENGKIL – Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dituntut memberi penjelasan berhubung isu writ, bersama-sama dengan pernyataan tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) oleh Splash berjumlah RM4.22 bilion.


Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Mohamed Azmin tidak boleh terus membisu mengenai perkara itu kerana tuntutan bayaran terhadap bil tertunggak yang gagal dibayar kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.


“Rizab kerajaan Selangor juga kini tinggal RM3 bilion dan jika hutang dimiliki berjumlah RM4.22 bilion, macam mana mereka nak langsaikan keseluruhan tunggakan itu? Ini bermakna kerajaan negeri akan muflis.


“Jadi, saya nak tanya dan rakyat pun nak tahu dari mana kerajaan negeri nak bayar kesemua hutang tersebut?,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) di Taman Gemilang, di sini, hari ini.


Splash menyerahkan writ, bersama-sama dengan pernyataan tuntutan kepada Syabas, bagi menuntut semua belum terima tertunggak yang terhutang oleh Syabas berjumlah RM4.22 bilion.


Anak syarikat 40 peratus dimiliki Gamuda Bhd itu menyatakan tuntutan itu juga termasuk faedah ke atas jumlah yang belum dibayar pada setiap invois pada kadar satu peratus ditambah dengan kadar pinjaman asas Malayan Banking Bhd (Maybank), yang mana pada masa ini dikira 6.90 peratus setahun, setiap hari mulai dari tarikh invois tersebut perlu dibayar sehingga pembayaran penuh.


Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Mohamed Azmin juga diingatkan untuk tidak terus mengelirukan rakyat.


“Menteri besar kena jawab kepada rakyat,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]