Dicekup berbaju tanpa seluar, lelaki hanya bertuala

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang wanita membawa pulang teman lelakinya yang dikenali menerusi Facebook ke rumah ketika ahli keluarga tiada di kediaman di Besut, Khamis lalu, mengundang padah.


Wanita berusia 23 tahun itu dicekup dalam keadaan mengaibkan bersama pasangannya berusia 19 tahun yang dikenali hanya dalam laman sosial, dua tahun lalu.


Menurut sumber, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari, wanita terbabit didapati hanya memakai baju tanpa seluar dan bertudung manakala pasangannya memakai tuala dan ditemui bersembunyi di dalam tandas.


Katanya, serbuan dilakukan sepasukan penguatkuasa selepas menerima aduan daripada orang awam yang mengesyaki pasangan terbabit melakukan aktiviti tidak sopan kerana hanya tinggal berdua selepas ibu bapa wanita itu tiada.


“Penguatkuasa yang menerima aduan melakukan serbuan sebelum menahan pasangan terbabit dan pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai hubungan sah.


“Siasatan mendapati pasangan ini sudah berkenalan sejak dua tahun lalu menerusi Facebook namun lelaki terbabit yang berasal dari Sarawak baru sahaja berada di Besut sejak empat hari lalu.


“Sebelum ini, pasangan ini hanya berhubung menerusi telefon serta panggilan video dan lelaki terbabit dikatakan datang ke Besut untuk menguruskan urusan perkahwinan antara mereka yang dirancang berlangsung selepas PRU nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Wan Ismail Sahaimi Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit.


Katanya, mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]