JB bakal miliki parkir bertingkat

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Sistem parkir kereta bertingkat yang dianggarkan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM10 juta di bandar raya ini bakal menjadi salah satu bukti pembangunan komersial dalam usaha menuju taraf bandar antarabangsa.


Projek dibangunkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu juga dilihat mampu menjadi penanda aras dalam penyediaan fasiliti berteknologi tinggi memandangkan ia adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama berbuat demikian.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kemajuan yang ingin dilakukan tersebut bakal memberikan manfaat terbaik buat masyarakat khususnya di kawasan itu, sekali gus menjadi langkah terbaik menangani masalah kurang petak parkir di bandar raya ini.


“Projek pembinaan parkir bertingkat yang bakal menempatkan sebanyak 184 lot kenderaan di bangunan setinggi 25 tingkat antara projek berteknologi tinggi yang akan berfungsi secara mekanikal.


“Projek fasa pertama dengan pembinaannya dijangka mengambil masa 18 bulan dan dianggarkan bernilai RM10 juta,” katanya selepas Program Walkabout Ke Zon Bandar, di sini, semalam.


Hadir sama, Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman.


Nur Jazlan berkata, selain sistem parkir bertingkat terdapat lagi enam projek yang akan dibangunkan MBJB menerusi Program Transformasi Bandar Raya Johor Bahru membabitkan kos keseluruhan bernilai RM 24.3 juta.


“MBJB juga akan melaksanakan projek membina semula tapak Bazar JB di Jalan Tan Hiok Nee menerusi peruntukkan disalurkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi berjumlah RM1 juta.


“Projek itu merangkumi usaha mereka bentuk laluan berbumbung sepanjang 266 meter yang menjadi pusat kebudayaan lima persatuan Cina tertua di Johor Bahru, pada masa sama peruntukkan RM10 juta pula diperuntukkan bagi menceriakan laluan belakang kedai dan pejalan kaki yang dilengkapi teduhan hujan serta lampu terang,” katanya.


Katanya, beliau menyokong semua projek dilaksanakan kerana ia bakal menjadi tarikan pengunjung tempatan dan antarabangsa.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]