Kes bunuh: Polis cari seorang lagi suspek

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Polis mengesan seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang wanita yang ditemukan mati dalam keadaan tragis di sebuah bengkel membaiki lori di Kampung Sri Purnama, di sini, malam kelmarin.


Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, suspek berkenaan yang merupakan warga Indonesia juga adalah salah seorang pekerja mangsa.


“Kita kini sedang memberi tumpuan untuk mengesan seorang lagi suspek warga Indonesia yang juga pekerja mangsa.


“Kita percaya, suspek tersebut masih lagi berada di negeri ini dan polis akan memastikan dia tidak meloloskan diri ke luar negara,” katanya.


Mohd Khalil berkata, hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut dipercayai berlaku akibat pekerja berkenaan yang tidak berpuas hati dengan majikan mereka iaitu mangsa terbabit.


“Setakat ini, kita sudah menahan dua pekerja mangsa yang merupakan warga Myanmar berusia 20 dan 39 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.


Semalam, dilaporkan penemuan mayat Goh Geok Leng, 43 yang merupakan pemilik sebuah syarikat menjual lori.


Kehilangan wanita itu disedari oleh pekerjanya selepas mendapati mangsa tiada di tempat kerja, namun kesemua barang miliknya masih ada di dalam pejabat.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]