Manifesto untuk semua golongan termasuk belia

in Politik by


IPOH – BN Perak dijangkakan akan melancarkan manifesto bagi PRU 14 pada Rabu depan.


Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, segala persiapan bagi pelancaran itu telah siap dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.


Menurut beliau, manifesto itu turut memberi perhatian kepada semua peringkat golongan di negeri ini termasuk belia.


“Sudah pasti ada orang muda kerana mereka sebahagian daripada kita. Ini akan diterjemahkan melalui pemilihan mereka sama ada lelaki atau wanita sebagai wakil rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-21 Majlis Belia Negeri Perak di Hotel Heritage hari ini.


Sementara itu, beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pengumuman calon BN di Perak masih belum dilakukan kerana menghadapi masalah serius.


Zambry berkata, pihaknya sedang menunggu arahan Pengerusi BN untuk mengumumkan calon kerana segala proses pemilihan calon telah siap.


“Malah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengakui Perak adalah negeri yang paling sedikit mempunyai masalah dalam proses pengumuman calon ketika sidang media kelmarin,” katanya.


Tambahnya, dia berterima kasih kepada semua ketua parti komponen terutama Presiden MCA, MIC, Gerakan, MyPPP, parti utama di Perak kerana berjaya mencapai persefahaman dan kata sepakat dalam semangat BN.


“Sasaran utama adalah untuk menang dan membentuk kerajaan. Semangat yang ditunjukkan pemimpin komponen yang ada memberi perspektif yang luas untuk memastikan BN menang di Perak.


“Kita bukan lagi berfikir tentang sama ada kuota ini untuk parti ini, kerusi ini untuk komponen lagi satu tetapi membincangkan untuk memenangi kerusi dipertandingkan di Perak,” katanya.


Jelas Zambry, mungkin pihak pembangkang akan mengambil kesempatan dan mengatakan ia seperti tindakan membuli dan sebagainya tetapi langkah ini adalah semangat untuk membuat keputusan terbaik bagi kemenangan BN.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]