Meriahnya mi cambo takbai!

in Edisi Terengganu by


MESKIPUN baharu sebulan bertapak, namun warung Planet ICT yang terletak di Pantai Tok Jembal, di sini, kian menjadi bualan berikutan keistimewaan rasa sup asli Thailand yang sememangnya digemari ramai.


Malah, kedudukan warung di kawasan pantai yang mendamaikan serta dibuka mulai jam 12 tengahari hingga jam 7 petang itu juga memberikan keselesaan kepada pelanggan untuk menikmati hidangan petang.


Bagi yang pertama kali berkunjung ke warung yang diusahakan Norzuliana Alias, 31, wajib mencuba mi cambo takbai yang bukan sahaja mewah dengan  ‘lauk’  seperti isi ayam, daging, bebola dan sebagainya tetapi turut dihidang dalam kuali kecil yang unik.


Keistimewaan mi cambo atau jumbo itu adalah ia menggunakan maggi Thailand yang digabungkan dengan rasa sup asli negara jiran itu serta ditambah dengan rasa pedas yang menyengat.


Belajar dari pakar masakan Thailand


Menurut Norzuliana, resipi itu terhasil selepas dia mempelajarinya sendiri daripada tukang masak dari Kelantan yang sememangnya arif tentang masakan Thailand.


“Saya seorang yang suka mencuba pelbagai resipi dan kita sedia maklum kebanyakan orang-orang tempatan memang menggemari hidangan sup terutamanya rasa asli daripada Thailand ini.

Mi cambo takbai jadi pilihan ramai.


“Jadi, sebelum saya membuat keputusan untuk membuka kedai makan ini, saya terlebih dahulu belajar dengan tukang masak dan selepas berpuas hati dengan rasa, barulah saya ambil keputusan untuk buka kedai ini, ” katanya.


Manakala dari segi cara penyediaan makanan pula, Norzuliana berkata, ia adalah ideanya sendiri kerana selain rasa yang sedap, pelanggan juga akan tertarik dengan bekas atau dekorasi makanan.


“Jadi, sebab itulah bagi bekas untuk mi cambo takbai ini, saya gunakan kuali kecil yang menarik,” katanya kepada Sinar Harian.


Ais salji penyejuk tekak paling digemari


Jika menikmati mi manggi cambo takbai yang pedas menyengat itu, tidak sah jika tidak digandingkan dengan penyejuk tekak istimewa di warung ini.


Bagi minuman pula, ais salji atau air batu campur yang dihidang berasingan dengan susu cair dan pekat antara minuman yang digemari pelanggan.


“Ais salji ini dicampur dengan pelbagai bahan mengikut selera pelanggan dan kita datangkan susu cair dan pekat yang diletakkan di dalam gelas kecil untuk kelainan, selain pelanggan dapat menentukan sendiri tahap manis yang diingini mereka,” katanya.

Antara minuman menarik lain yang terdapat di Planet ICT.


Menurut penuntut lepasan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu lagi, selain pelbagai jenis sup, warungnya juga turut menawarkan menu lain antara makanan laut celup tepung serta minuman menarik yang lain.


“Walaupun warung saya ini masih lagi baharu, namun saya sangat bersyukur kerana dari hari ke hari pelanggan yang datang semakin bertambah.


“Kebanyakan pelanggan merupakan penuntut Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan mereka merupakan antara pelanggan tetap,” katanya.


Peraduan alam maya tarik pelanggan


Menurut anak sulung daripada empat beradik itu lagi, bagi menarik lebih ramai pelanggan ke warung miliknya itu, dia juga kerap membuat peraduan dengan rakan-rakan alam maya atau Facebook untuk memberi makan secara percuma.


“Selain dapat berinteraksi dengan pelanggan, cara itu juga menjadi peluang untuk saya beramal dan berkongsi rezeki,”kata graduan bidang Pengurusan Pembinaan itu.


Ditanya mengenai perancangan masa hadapan di warungnya, dia berhasrat untuk mempelbagaikan lagi resipi pada masa akan datang.


“Saya lebih cenderung kepada makanan barat,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]