Pandu merbahaya, pemandu lori dijel tiga tahun

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori dihukum tiga tahun penjara dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, empat tahun lalu.


Tertuduh, Mohd Shuhari Azlan Sudin, 31, dari Kampung Padang Tanjong Paya, Marang, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, Mohd Shuhari Azlan didakwa sebagai pemandu lori telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan berbahaya sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dan mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal, Mohd Zulfikar Abu Bakar, 36.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Nerus, kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada 13 Ogos 2014.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]