Rayu ibu Nur Eyman tampil

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Seorang wanita di Felda Air Tawar 1 di sini, mencari ibu kandung kepada anak angkatnya yang dijaga sejak usia sehari.


Haszren Abu Bakar, 34, berkata, anak angkatnya, Nur Eyman Humairah kini sudah berusia dua tahun dan sudah dianggap seperti anaknya sendiri.


Menurutnya, ibu kandung Nur Eyman berasal dari Indonesia bernama Desi Ismayanti dengan rela hati menyerahkan kanak-kanak itu kepadanya dan suami untuk dijaga.


“Ibu kandungnya menyerahkan Nur Eyman ketika kami berada di rumah Felda Air Tawar 1 di mana dia memberitahu mahu balik ke Indonesia.


“Kami juga sudah berurusan dengan pesuruhjaya sumpah untuk akuan serah Nur Eyman kepada kami. Selepas itu kami tidak berhubung lagi dengannya. Namun kini kami memerlukan kehadiran ibu kandungnya untuk membantu urusan dokumentasi pengambilan anak angkat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk menjejakinya tapi tak berhasil,” katanya.


Haszren berkata, Nur Eyman tidak pernah dianggap sebagai orang luar malah segala kasih sayang dicurahkan sepenuhnya kepada kanak-kanak itu.


Katanya, dia amat berharap ibu kandung Nur Eyman akan tampil bagi membantu melancarkan urusan JKM itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]