Setahun buat kajian hasil resipi Hainan

in Edisi by


KUANTAN – NasiAyamPapa kini menjadi jenama yang semakin popular di  Kuantan selepas mula beroperasi penghujung tahun 2013 di Selera Singgang Beserah.


Menampilkan konsep nasi ayam bercitarasakan masyarakat Hainan, ternyata menjadi dan digemari ramai.


Pengasasnya, Mohd Nadzir Ali berkata, ketika membuat keputusan berada dalam perniagaan makanan, dia mengambil sedikit masa bagi memastikan jenama nasi ayamnya itu menepati cita rasa pelanggan.


Menurutnya, tempoh setahun diambil untuk mengkaji dan membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) selepas mempelajari resipi nasi ayam Hainan terbaik daripada chef yang pakar menyediakan nasi ayam bagi memastikan produk yang bakal dilancarkan memenuhi kehendak pasaran.


“Saya membuat percubaan dengan meminta keluarga dan rakan memberi komen nasi ayam yang saya sediakan,” katanya.


Bagaimanapun, selepas beberapa percubaan Mohd Nadzir nekad memberanikan diri berniaga nasi yang sebelum ini memang popular dalam kalangan masyarakat Tionghua.

Mohd Nadzir bersama menu NasiAyamPapa Hainan yang popular di Kuantan.


“Berbekalkan modal RM30,000, saya memulakan perniagaan nasi ayam Hainan atas jenama NasiAyamPapa di Medan Selera Singgang di Beserah,” katanya kepada Sinar Harian.


Mohd Nadzir berkata, nasi ayamnya turut mempunyai hidangan tambahan iaitu sayur baby kailan oyster sauce dan tauge kicap sebagai pilihan kepada pelanggan.


Katanya, kelebihan NasiAyamPapa adalah ayam panggangnya cukup perisa dan lembut. Lebih menyedapkan rasanya, ayam berkenaan dibakar menggunakan ketuhar khas.


“Ia sekali gus memberi pilihan  kepada pelanggan yang mementingkan kesihatan berbanding ayam yang digoreng.Harga NasiAyamPapa adalah antara RM6 hingga RM9.50.


“Selain nasi ayam, saya turut menyediakan bubur ayam papa  ciptaan sendiri selepas beberapa kali mencuba. Sekali rasa, bubur ini sama seperti  bubur ayam dari restoran segera namun saya tambah beberapa perisa termasuk  halia untuk rasa lebih segar dan wangi,” katanya.


Tambahnya, nasi ayam tersebut turut di jual di Hospimart Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak empat tahun lalu dalam konsep ‘ready to eat pack’.


“Kami juga mendapat kontrak menyediakan menu untuk kantin sebuah kilang di Gebeng selama 40 hari sehingga Mei ini kepada kira-kira 2,000 pekerja.


“Peluang itu adalah satu perkembangan positif bagi meluaskan jenama dan pasaran produk NasiAyamPapa,” katanya yang mendapat sokongan padu daripada isteri, Sarini Abd Hamid.


Mohd Nadzir yang berpengalaman dalam bidang pemasaran bekalan bahan binaan selama 12 tahun mengakui tidak menyesal meninggalkan kerjayanya.


Bapa kepada seorang anak lelaki, Adam Mikhail itu berkata, ahli keluarganya memang terlibat dalam perniagaan makanan menjadi pendorong untuknya mempunyai perniagaan makanan jenama sendiri.


“Saya seronok berada dalam bidang ini malah perancangan jangka panjang sudah dibuat.


“Antaranya, mahu menjadikan jenama NasiAyamPapa sebagai satu jenama francais dalam tempoh lima tahun lagi selain membuka restoran nasi ayam yang berkonsep keluarga,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]