YB lari kerana takut kalah?

in Politik by


SEBAIK sahaja namanya diumumkan sebagai calon Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota, Pahang pada PRU14 9 Mei depan, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, diserang hebat oleh musuh politiknya.


Ada yang mendakwa beliau lari meninggalkan kawasan Parlimen Temerloh yang beliau jadi wakil rakyatnya sejak lima tahun lalu untuk mendapatkan perlindungan di tempat selamat.


Apatah lagi apabila Indera Mahkota merupakan tempat beliau bermastautin sejak 15 tahun lalu.


Ada juga yang beranggapan kemenangannya di Temerloh pada PRU13 bukan kerana faktor pengaruh beliau sendiri, tetapi kerana ramai pengundi di kawasan Cina menolak Umno, walaupun calonnya, Datuk Saifuddin Abdullah, anak tempatan, dikenali dan disukai ramai.


“Sebelum ini telah berlegar khabar angin bahawa saya akan lari ke Kelantan untuk mencari tempat selamat setelah kedudukan saya di Temerloh dikatakan tergugat,” jelasnya dalam akaun Facebooknya.


Beliau menerima tuduhan itu secara positif.


“Saya bukanlah makhluk sempurna. Apa yang ada pada saya adalah kesungguhan dan kemahuan berjuang untuk mencari kesempurnaan hidup bersama penghayatan Islam,” katanya.


Beliau berharap masyarakat memahami keadaan sebenar dan tidak melemparkan tohmahan bukan-bukan.


Jelasnya, keputusan bertanding dalam Pas tidak dibuat oleh calon. Proses mencadangkan calon ditentukan oleh kawasan, sebelum dibawa ke peringkat negeri dan dimuktamadkan oleh pusat setelah kelayakan calon diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak.


“Maknanya, saya tidak punyai kuasa untuk tentukan tempat saya bertanding,” jelasnya.


Berdasarkan kawasan beliau diletak untuk bertanding sejak 14 tahun lalu, Nasrudin jelas telah dipindahkan dari satu kawasan ke kawasan lain.


Pada PRU11 (2004), beliau dipilih untuk bertanding kerusi Dun Bukit Ibam.


Pada PRU12 (2008), beliau bertanding untuk kerusi Parlimen Maran dan pada PRU13 (2013), beliau bertanding di Temerloh, berhadapan dengan Saifuddin, ketika itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.


Saifuddin dihukum pengundi di tempatnya sendiri hanya kerana beliau mewakili BN/Umno.


Dalam PRU14, Saifuddin yang kini Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, dipilih berhadapan sekali lagi dengan Nasrudin, kali ini di Indera Mahkota.


Barangkali, kali ini ada yang mahu menganggap pemergian Saifuddin ke Indera Mahkota adalah untuk membalas dendam.


Tetapi bagi Saifuddin, ia bukan dendam. Beliau diletakkan bertanding di Indera Mahkota, menentang Nasrudin kali kedua, adalah kebetulan.


Saifuddin menganggap PRU kali ini sebagai ‘soal rakyat dengan BN’.


Menurut Nasrudin, isu beliau hendak lari untuk bertanding di Kelantan seperti yang didakwa pihak tertentu tidak timbul.


“Ia langsung tidak berbangkit di peringkat Pas Kelantan dan Pusat kerana Kelantan sudah ada set kepimpinan yang layak dan berwibawa yang telah dipersetujui,” katanya.


Katanya, untuk mengatakan beliau lari ke tempat selamat agak tidak sesuai dalam keadaan hari ini di mana terdapat senario pertandingan tiga penjuru atau lebih yang memberi peluang kepada semua parti untuk menang.


Beliau jelaskan, Pas telah menyasarkan lebih 130 kerusi dan semuanya diharapkan menang.


“Maka, pada pandangan kami, tiada istilah kerusi selamat atau kerusi bahaya,” katanya.


Calon yang menggantinya di Temerloh akan diumumkan pada 19 April depan.


Bagi Nasrudin, di Indera Mahkota juga beliau berhadapan dengan calon-calon yang kuat. Umno juga dipercayai akan meletak calon.


“Bahkan, ada yang mengkategorikan saya sebagai calon ‘underdog’ di Indera Mahkota,” katanya,


Nasruddin, 48, antara lain, adalah Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Pengarah Eksekutif Akademi Ar Rasyidin, dan Pengerusi Pembangunan Musolla Ar Raudhah Tmn Pelindung Perdana Beserah Pahang.


Beliau memiliki sarjana muda pengajian Islam, Fakulti Teologi, di Universiti al-Azhar, Mesir.


Sebelum itu beliau belajar di Madrasah ad Diniah al Bakriah, Pasir Tumbuh, Kelantan dan menyambung pengajian di Maahad Fathul Islami, Damsyik, Syria.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]