Calon perlu fahami anak muda

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Calon diketengahkan pada PRU14 perlulah bijak mendekati dan memahami aspirasi orang muda.


Pengerusi Parlimen BN Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, jika dilihat contoh di kawasan Felda Kepis khususnya, sebanyak 60 peratus pengundi adalah dari golongan muda.


“Anak muda kini bijak memilih calon dan tidak akan menyokong pemimpin sembarangan. Jika dahulu mungkin boleh melihat kepada parti tetapi kini, calon juga perlu diberi perhatian sebaik mungkin.


“Sudah semestinya, bakal calon bertanding mampu mendekati anak muda dan memiliki kredibiliti dikehendaki pucuk pimpinan.


“Sememangnya perubahan dan transformasi perlu dilaksanakan seiring pandangan Umno sebagai parti masa depan dengan memberi laluan kepada calon muda agar mampu menerajui tampuk kepimpinan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.


Beliau mengulas kedudukan Felda Kepis N17 Senaling dan desakan lebih ramai calon muda diketengahkan pada PRU14.


Meskipun Pakatan Harapan (Harapan) mula bertapak di kawasan Felda Kepis untuk meraih undi, namun beliau yakin penduduk terus kukuh kepada BN.


“Kita perlu lakukan perubahan untuk kekal majoriti di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Felda Kepis.


“Dan golongan veteran yang setia kepada parti, perlu sentiasa memberi sokongan dan pastinya mereka diberi perhatian sebaiknya kerana telah banyak berjasa kepada parti,” katanya.


Dalam pada itu, Adun Senaling ini menyatakan, selama empat penggal memegang kawasan itu, PDM Felda Kepis terus meningkat pada setiap kali PRU.


“Sokongan kepada BN tetap utuh dan saya percaya jika bakal calon ini menepati kehendak mereka, tidak mustahil kawasan Felda Kepis tetap bersama parti keramat ini.


“Apa yang penting kerjasama dan sokongan padu peringkat akar umbi kepada parti serta memberi kepercayaan sekali lagi kepada BN untuk kekal kerajaan memerintah,” katanya.


Sebelum itu, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, merasmikan e-Sport Tour Parlimen Belia Malaysia Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda Melang, semalam.


E-Sport itu anjuran Parlimen Belia Malaysia dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kuala Pilah.


Seramai 350 belia berusia 40 tahun ke bawah menyertai permainan Mobile Legend dan perlawanan Fifa atas talian bagi merebut hadiah RM3,000 sempena e-Sport Tour Negeri Sembilan siri kedua.


Hadir sama, Pengerusi MBD Kuala Pilah, Shafri Muhammed; Parlimen Belia, Mohd Fasha Musthafa dan Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Pilah, June Artisha Mohamad Nazari.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]