Empat rumah sewa, kedai terbakar

in Edisi Selangor KL by


KLANG – Seorang bekas tukang rumah hilang sumber pendapatan sekelip mata apabila empat rumah sewa dan sebuah kedai kereta terpakai yang menyewa di tanahnya di Batu 3, Jalan Kapar, di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, sejumlah 14 kenderaan yang berada dalam kedai kereta terpakai itu turut musnah.


Lias Salam, 56, berkata, dia membina empat rumah sewa itu sejak tahun 1980-an sebagai sumber pendapatannya bagi menyara keluarga.


“Kemudian pemilik kedai kereta terpakai itu pula menyewa tapak bersebelahan rumah untuk dijadikan kedai sejak 12 tahun lalu.


“Hasil bayaran sewa rumah dan tapak kedai itu saya peroleh dalam RM3,000 setiap bulan,” katanya kepada pemberita di lokasi hari ini.


Menurutnya, akibat kebakaran itu, dia hilang sumber pendapatan tetap selepas berhenti kerja-kerja bertukang.


“Bagaimanapun saya berhasrat untuk bangunkan semula rumah sewa itu namun perlu ambil masa untuk kumpul modal.


“Saya anggap kejadian yang berlaku ada hikmahnya, apa yang penting kesemua penyewa terselamat dalam kebakaran itu,” katanya.


Menceritakan kejadian itu, Lias berkata, pada mulanya dia menyangkakan bau hangit dari api sampah yang dibakar jiran-jirannya.


“Ketika keluar rumah untuk meninjau, saya terkejut nampak api marak sedang membakar bahagian belakang dalam kedai itu.


“Saya menjerit meminta kesemua penyewa dan jiran agar keluar rumah menyelamatkan diri,” katanya.


Sementara itu, salah seorang penyewa, Suhana Shauki, 43, yang tinggal bersama suaminya berkata, dia hanya sempat selamatkan dokumen penting berikutan api terlalu marak.


“Tiada sehelai baju yang dapat kami selamatkan, kami berdua kini tinggal sehelai sepinggang.


“Barang-barang bertukang milik suami, Mursidi Meseni, 45, juga musnah yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM5,000,” katanya yang menyewa di situ sejak tiga tahun lalu.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata,


bomba menerima panggilan kejadian jam 8.20 malam.


“Seramai 30 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Kota Raja dan Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Kita juga mendapatkan bantuan ‘water tanker’ dari Balai Pelabuhan Klang dan Kota Anggerik bagi kerja-kerja pemadaman,” katanya.


Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.


“Kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran jumlah kerugian,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]