Kaki terkena peluru sesat

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JASIN – Seorang warga emas terpaksa berkerusi roda apabila kaki kananya dipotong gara-gara terkena peluru sesat ketika pergi berburu di hutan beberapa tahun lalu.


Ahad San Fook, 86, berkata, ketika dia terkena tembakan tersebut, kakinya tidak sesakit mana.


Menurutnya, selepas beberapa lama dan usia semakin meningkat, rasa sakit semakin menjadi-jadi.


“Akibat daripada itu, doktor menyarankan supaya kaki saya dipotong.


“Jika saya membiarkannya, doktor bimbang keadaan kesihatan saya terjejas sehingga melibatkan organ dalaman lain terjejas sama,” katanya.


Ahad yang merupakan penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Rim, berkata, walaupun terpaksa berkerusi roda namun dia bersyukur dan gembira kerana tidak menghidapi penyakit lain.


“Selain tiada sebelah kaki, kesihatan saya masih dalam keadaan yang baik.


“Saya sangat gembira hari ini kerana pihak berkenaan sudi datang menjenguk keadaan saya dan memberi sumbangan,” katanya.


Program Ziarah Kasih Komuniti 1Malaysia bersama Japerun Rim di Kampung Orang Asli Lubuk Bandung itu turut mendapat kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Jasin.


Sementara seorang lagi penduduk Kampung Orang Asli Lubuk Bandung, Ebby Azlan Ah Jeet, 32, lumpuh separuh badan selepas kemalangan hampir 12 tahun lalu.


“Sekarang memang saya tidak boleh bergerak kecuali dengan menggunakan kerusi roda.


“Saya dah buat macam-macam rawatan moden dan tradisional, tetapi masih tidak berhasil,” katanya.


Turut diziarahi, tiga penerima lain diziarahi turut diberikan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta wang tunai.


Hadir sama Timbalan Pengarah BN Parlimen Jasin, Datuk Ghazale Muhamad, Pegawai Penerangan Daerah Jasin, Salina Hasan dan Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kg Orang Asli Lubuk Bandung, Jasdi Ah Kin.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]