Komited sedia rumah rakyat

in Edisi by


JOHOR BAHRU – BN Johor komited menyediakan perumahan untuk rakyat sekiranya terus diberikan mandat memimpin kerajaan negeri ini lagi.


Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut bertujuan memenuhi keperluan masyarakat untuk memiliki rumah.


Menurutnya, BN juga mahu pembangunan pesat yang berlaku di negeri seimbang, inklusif dan benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat.


“Antara perkara pokok yang kita berikan perhatian ialah soal penyediaan rumah mampu milik.


“Ini supaya pada akhirnya masyarakat kita hidup secara bermakna dan bermaruah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Bandar Seri Alam, di sini, semalam.


Mohamed Khaled berkata, untuk menjayakan sasaran 100,000 unit rumah mampu milik terbina menjelang tahun 2023, kerajaan negeri pimpinan BN akan meneruskan dasar dan penguatkuasaan sedia ada.


Katanya, tiada sebarang cadangan untuk mengubah harga bagi Perumahan Komuniti Johor (PKJ) A, PKJ B dan RMMJ yang ditawarkan kepada rakyat negeri ini.


“Kita tidak ada cadangan untuk mengubah dasar di mana setiap pembangunan yang kawasannya melebihi lima ekar maka dasarnya 40 peratus mesti dibina rumah mampu milik.


“Kita juga akan pastikan semua pemaju mematuhi dasar itu. Jika tidak, pemaju-pemaju tersebut akan berhadapan dengan masalah untuk melaksana dan menjayakan projek-projek lain,” katanya.


Jika diberikan mandat sekali lagi, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan dasar tidak mengenakan caj pemajuan ke atas tapak atau keluasan tanah yang membina rumah mampu milik.


Mohamed Khaled berkata, proses pengambilalihan tanah juga akan terus dilakukan dalam usaha menyediakan tanah-tanah untuk membina kediaman mampu dimiliki oleh rakyat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]