Kubur lebih 100 tahun di tengah bandar

in Edisi by


LIPIS sememangnya terkenal sebagai bandar warisan sejarah kerana di daerah ini terdapat 14 bangunan lama pada abad ke-19 semasa pentadbiran era kolonial di bawah Residen Britsih, Sir Hugh Clifford.


Tahun demi tahun daerah ini mengalami perubahan dalam konteks pembangunan namun di sebalik semua itu, mungkin ramai yang masih tertanya-tanya kewujudan dua kubur Kristian bersebelahan bangunan Centrepoint.


Bagaimanapun, dalam konteks sejarah, kubur itu terlalu lama dan ada yang mendakwa berusia lebih 100 tahun.


Pengarah Urusan Tuah Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Hassan Tuah berkata, sebelum ini terdapat pelbagai persepsi masyarakat khususnya penduduk Lipis yang mengatakan kubur berkenaan merupakan saudara kepada Sir Hugh Clifford namun ada yang menyangkal.


Menurutnya, berdasarkan kajian pihaknya selama beberapa tahun mendapati kubur tersebut milik pengurus sebuah lombong emas yang masih beroperasi di daerah ini.


Tambahnya, mendiang John Bain yang merupakan pengurus lombong emas meninggal dunia pada 29 Oktober 1892 akibat wabak penyakit yang melanda daerah ini pada ketika itu.


“Selepas mendiang meninggal dunia, seorang doktor pakar bedah dari Ulu Pahang iaitu Dr Synthe telah ditugaskan melakukan bedah siasat pada mayat John Bain. Pada ketika itu Ketua Polis Lipis adalah King Lord.


“Kenapa ia (kubur) duduknya di sini saya sendiri juga tidak tahu. Jawapannya sebab semua sedia maklum kubur Kristian sebenarnya terletak bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis sekarang.


“Kalau ada pengkaji sejarah dapat membuat kajian atau penyelidikan berkaitan kubur John Bain dan satu lagi kubur milik William Solomon Chapman yang meninggal dunia pada Februari 1894 pasti lagi menarik,” katanya di sini semalam.


Mohd Hassan berkata, pihak berkaitan juga perlu memulihara kubur lama berkenaan termasuk membuat pagar kerana ia mampu dijadikan sebagai salah satu tempat tumpuan pelancong.


“Kita lihat kubur ini berpotensi dijadikan monumen kerana lokasinya di tengah bandar Lipis selain mampu menarik pelancong khususnya dari luar negara untuk mengetahui tentang sejarah kubur tersebut.


“Selain itu pihak berkaitan juga boleh menjejaki serta mengenal pasti susur galur keluarga mendiang John Bain dan William Solomon Chapman kerana mungkin ada lagi cerita lebih menarik yang kita tidak tahu mengenai kaitan antara mereka dan  menjadi sejarah,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]