Muslim Mother Teresa perlu jadi contoh

in Uncategorized by


IPOH – “Saya bukan mahu mencari populariti tetapi saya mahu mereka tahu  bahawa umat Islam adalah orang baik dan kami mahu melakukan perkara yang baik juga,” kata Sabariah Hussein,70-an.


Sabariah yang dikenali sebagai Sister Sabria telah memasak, menyediakan dan membantu ribuan golongan kurang bernasib baik di Montreal, Canada lebih 30 tahun lalu.


Menurutnya, mana-mana individu yang ingin melakukan kerja amal perlu bermula dengan minat mendalam selain mempunyai matlamat yang ingin dicapai pada masa hadapan.


“Kesukarelawan ini tidak mengharapkan bayaran kerana ia akan ‘dibayar’ di akhirat nanti,” katanya ketika sidang media selepas berkongsi pengalaman di Executive Talk with Sister Sabria ‘Compassion without border’ di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  hari ini.


Beliau berkata, selain memasak bersama dengan beberapa sukarelawan lain untuk diagih-agihkan kepada masjid di sekitar Montreal, dia juga bekerjasama dengan beberapa gereja tempatan untuk memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik.


Katanya, pada masa sama, Sabariah turut menguruskan rumah perlindungan wanita, Our 2nd Home Shelter serta terlibat dengan beberapa aktiviti kesukarelawan antarabangsa termasuk menyertai sebuah badan amal Islam-Kanada yang tertua, Human Concern International.


Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kehadiran pengasas Yayasan Sister Sabria ke negeri ini dilihat memberi inspirasi kepada rakyat untuk berbakti antara satu sama lain.


Zambry berkata, keperibadian Sabariah yang digelar ‘Muslim Mother Teresa’ perlu dijadikan contoh dan ikutan kepada masyarakat terutama golongan anak muda di negeri ini.


“Kita memerlukan golongan seperti ini untuk terus berada di lapangan dan membantu masyarakat di mana sahaja mereka berada.


“Pengajaran yang boleh diambil dari kisah hidup beliau adalah bagaimana seorang Muslim yang merasakan hidup dalam suasana masyarakat berbilang agama itu bukan sesuatu halangan besar selagi kita mempunyai sifat pemurah dan penyayang dalam diri kita sendiri,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]