Sukar pertahan Hang Tuah Jaya

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Pakatan Harapan (Harapan) Melaka dijangka berhadapan kesukaran mempertahankan kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU14 ini ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya, baru-baru ini.


Timbalan Pengerusi Harapan Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ekoran persempadanan semula itu, lima kawasan yang sebelum ini menjadi kubu kuat pembangkang kini berada di bawah Parlimen Kota Melaka.


Menurutnya yang juga penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya (dahulunya dikenali Bukit Katil), ketiadaan lima daerah mengundi berkenaan iaitu Taman Asean, Malim Jaya, Melaka Baru, Taman Merdeka dan Batu Berendam akan menjejaskan peluang Harapan mempertahankan Hang Tuah Jaya.


“Saya akui sukar untuk berhadapan dengan keadaan apabila 25,000 penyokong kami yang kini dibawa keluar dari Parlimen Hang Tuah Jaya.


“Bagaimanapun, ekoran situasi ini, saya rasa rakan saya di Kota Melaka boleh senyum kerana saya rasa majoriti Harapan di Kota Melaka kali ini boleh mencecah sehingga 30,000 atau 40,000,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.


Shamsul Iskandar yang juga Naib Presiden PKR berkata, persempadanan semula yang dijalankan itu adalah satu usaha untuk memastikan kekalahan pembangkang pada PRU14 ini.


“Saya percaya dengan sokongan daripada semua pengundi tanpa mengira bangsa atau keturunan, Harapan masih berpeluang mencatatkan keputusan positif pada PRU14.


“Dengan sokongan ini, kita masih boleh melakukan perubahan besar, bukan sahaja di Hang Tuah Jaya tetapi juga di seluruh negeri Melaka,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]