Azmin nafi dakwaan pancing undi

in Politik by


SHAH ALAM – Bantuan-bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Selangor merupakan satu perancangan komprehensif, telus dan terbuka malah ia bukan hanya dijelmakan menjelang PRU14 ini.


Menteri Besar Selangor (kerajaan sementara), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar-dasar dan program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri merupakan perancangan yang cukup rapi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan bukan semata-mata untuk memancing undi.


“Saya ingin beri penjelasan supaya editor-editor faham bagaimana untuk melaporkan tentang dasar-dasar dan program Kerajaan Selangor yang dilakukan dengan perancangan cukup rapi dan bukan semata-mata untuk pancing undi,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah (SJKC, SJKT, Mubaligh) yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, semalam.


Sebelum ini, timbul dakwaan menerusi laporan media mengatakan Azmin cuba untuk memancing undi rakyat apabila melakukan penyerahan wang tunai, komputer riba dan iPad kepada pengundi di Bukit Antarabangsa dan Gombak.


Namun begitu, Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong menafikan dakwaan itu dan mengakui kecewa dengan laporan berita berkenaan yang dikatakan mempunyai beberapa kesalahan serius dengan andaian kurang tepat.


Mengulas mengenai program berkenaan, Azmin memaklumkan bahawa bantuan tersebut merupakan hasil daripada peruntukan menerusi Belanjawan 2018 lalu yang diluluskan oleh Sidang Dun untuk  SJKC, SJKT,dan Mubaligh.


Beliau berkata, prinsip ini sejajar dengan kebertanggungjawaban Kerajaan Selangor dalam memastikan rakyat di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.


“Ini adalah kerana kita faham pendidikan merupakan nadi kemajuan masyarakat dan faktor penting untuk memacu usaha pembasmian kemiskinan,” katanya.


Di samping itu, Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR turut menegaskan bahawa Kerajaan Selangor telah mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh SJKC dalam pembangunan modal insan.


Beliau berkata, Kerajaan Selangor turut mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak 2016 lalu yang diperkenalkan oleh Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-Lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong).


“Statistik terkini  3,000 pelajar tamat pengajian sijil UEC .


“Sebaliknya mereka (Kerajaan Persekutuan) hanya tabur janji di mana warganegara yang memiliki sijil peperiksaan luar negara termasuk UEC akan diberi pertimbangan. Ini semua janji yang ditabur menjelang PRU14 nanti,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]