Bersatu Pulau Pinang umum calon PRU14

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Bersatu Pulau Pinang mengumumkan senarai calon parti itu yang akan bertanding di empat kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen, semalam.


Bagi kerusi Dun, pengumuman senarai calon itu dibuat Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Marzuki Yahya secara langsung menerusi Facebook rasmi parti itu.


Manakala pengumuman calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen pula diumumkan Timbalan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Shariff Omar.


Marzuki berkata, pengumuman calon itu amat bersejarah kerana ini kali pertama Bersatu meletakkan calon bertanding dalam PRU14.


“Kita telah mengambil kira semua faktor untuk meletakkan wajah baru, lama dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan.


“Keputusan yang dibuat ini bukan untuk memuji mana-mana pihak. Saya sebagai pimpinan negeri merasakan akan ada kemungkinan segelintir yang tidak puas hati dengan apa yang kita umumkan.


“Saya ingin berpesan kepada semua penyokong dan jentera parti, kita harus kembali kepada asas perjuangan dan penubuhan parti, bukan mengejar menjadi calon saja,” katanya.


Menurutnya, tujuan asal penubuhan parti itu adalah untuk melawan Umno-BN serta menyelamatkan Malaysia.


“Amanah ini adalah sebagai satu tanggungjawab yang diberi kepada calon kami. Calon yang kita putuskan adalah berwibawa dan sanggup memikul amanah yang diberi,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]