BN Johor tiru Selangor

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (Harapan) Johor menyifatkan beberapa manifesto yang diumumkan BN negeri seperti simpanan kewangan kelahiran bayi dan bantuan mahasiswa seperti meniru inisiatif yang telah dijalankan Kerajaan Selangor.


Timbalan Pengerusi Biro Tawaran dan Dasar Pakatan Harapan Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran yang diberikan BN Johor itu seakan sama seperti insentif Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang telah dilaksanakan sejak 2008 lalu. “Kerajaan Johor meniru insentif Tawas yang sebelum ini dikendalikan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan beberapa tahun dahulu. Melalui inisiatif ini, Tawas akan memberikan RM1,500 kepada pesertanya mencecah 18 tahun.  


“Ia bermula dengan kelahiran bayi di Selangor dan secara tidak langsung konsepnya adalah sama dengan pemberian RM50 simpanan kewangan untuk pendidikan bagi setiap bayi yang lahir di Johor seperti di umumkan BN,” katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.


Dzulkefly berkata, selain itu penawaran peruntukan RM1,000 bagi mahasiswa Johor yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah sama dengan insentif Hadiah Anak Masuk Universiti yang diperkenalkan di Selangor.


“Hadiah Anak Masuk Universiti ini telah diperkenalkan di Selangor sejak 2008 iaitu selepas PRU12. Dalam manifesto BN baru-baru ini mereka telah menawarkan wang sebanyak RM1,000 kepada mana-mana anak Johor yang pendapatan keluarganya bawah RM3,000 untuk melanjutkan pengajian mereka di IPT.


“Sebelum ini mana ada, Kerajaan Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) hanya memberikan RM500 untuk mahasiswa yang melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan RM750 untuk ijazah pertama di IPTA sahaja,” katanya. Jelasnya, satu lagi gerakan ciplak BN Johor yang diambil daripada Kerajaan Selangor adalah bantuan perkahwinan pertama untuk golongan muda di negeri ini.


“Kita tengok yang paling mereka (BN Johor) tekankan adalah bantuan Orang Muda Johor (OMJ) yang akan menerima insentif sebanyak RM500 untuk perkahwinan pertama mereka. Sebenarnya insentif ini telah lama dilakukan Selangor menerusi program Perkahwinan Belia.


“Jumlahnya sama, RM500 setiap seorang, jadi kita dapat lihat pemerintahan pembangkang seperti yang dimomokkan BN teruk…sebenarnya adalah jauh ke hadapan dan mereka sekarang hanya meniru,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]