Giat usaha selamatkan sumber marin

in Edisi Johor by


MERSING – Agensi kerajaan di negeri ini giat menjalankan usaha demi menyelamatkan sumber marin dalam kawasan taman laut di perairan Johor.


Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor, Bahrinah Bahrim berkata, usaha ini penting demi melestarikan sumber marin ke tahap maksimum.


“Kita jalankan latihan pengurusan bersama Jabatan Perikanan Daerah Mersing dan Perbadanan Taman Negara Johor baru-baru ini di bawah projek Global Environment Facility (GEF) Konservasi Dugong Rumput Laut.


“Tujuannya untuk mencapai kesepakatan dalam pengurusan sumber marin taman laut khususnya di Pulau Sibu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, satu lagi sesi latihan bersama agensi dan komuniti di Pulau Sibu turut akan dijalankan dalam masa terdekat.


“Semua input kita terima daripada agensi-agensi terlibat akan diselaraskan bagi tujuan mencapai situasi menang menang kesemua pihak.


“Kami mengharapkan komuniti setempat dapat terus menjadi mata dan telinga agensi kerajaan,” katanya.


Katanya, antara sumber marin yang dibangkitkan termasuklah hidupan ikonik di negeri ini iaitu dugong selain rumput laut, terumbu karang, penyu dan ikan yang terancam akibat pelbagai faktor.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]