Mohd Zaki istiqamah bersama Pas

in Politik by


TUMPAT – Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim tetap setia berdiri teguh bersama parti Pas meskipun namanya sudah sah tidak tercalon lagi dalam PRU14 ini.


Menurut wakil rakyat yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Kelantan itu, kesetiaannya pada Pas tidak berbelah bahagi malah tidak terdetik sedikit pun di hatinya untuk keluar parti dan menyertai Amanah.


“Saya tetap membawa mandat PRU14 menyokong Kerajaan Pas Kelantan dalam mempertahankan kerajaan Islam ini.


“Setia saya pada Pas tidak berbelah bahagi, tapi saya kena akur dengan keputusan parti mahu rehatkan saya.


“Saya bertanding pada 2004 dulu pun atas keputusan parti dan tidak bertanding ini juga atas keputusan parti. Ini proses biasa, tak ada apa-apa yang pelik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Jumaat lalu, Mohd Zaki dilaporkan direhatkan daripada bertanding pada PRU14 ini.


Perkara itu diumumkan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob apabila ditanya pemberita selepas menerima memorandum daripada Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran.


Memorandum tersebut sebagai tanda sokongan padu kepada Mohd Zaki bahawa beliau layak sebagai calon Dun Kelaboran selepas tersebar di WhatsApp dia tidak tercalon.


Sebelum ini sudah timbul desas-desus bahawa nama Mohd Zaki mungkin digugurkan atas beberapa sebab seperti beliau pernah dituduh condong kepada kumpulan ‘harumanis’ dalam Pas.


Mengulas tuduhan berkenaan, beliau meminta mereka yang membuat khabar angin itu supaya bertaubat kerana ia suatu cerita fitnah.


“Saya berharap mereka bertaubat kerana saya tetap setia pada parti Pas sampai bila-bila,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]