Pelan induk pelancongan dilancar

in Edisi Johor by


PONTIAN – Sektor pelancongan di daerah ini yang dikenali sebagai Southern Sactuary perlu terus diperkasa dari segi ekopelancongan, perikanan dan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).


Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, sepanjang tahun lalu, 500,000 pelawat menggunakan kemudahan penginapan seperti hotel, resort, chalet, rumah tumpangan dan inap desa di Pontian.


Katanya, ia menunjukkan daerah ini mempunyai pelbagai tarikan untuk diteroka pengunjung yang inginkan kelainan.


“Kerjasama semua pihak perlu digembleng bagi membantu meningkatkan lagi sektor pelancongan tempatan menjelang 2020 apabila jambatan baharu menyeberangi Sungai Pulai siap sepenuhnya.


“Jambatan tersebut akan mempercepatkan perjalanan kira-kira 30 minit dari Johor Bahru ke Pontian berbanding 1 jam 45 minit  melalui laluan biasa pada ketika ini,” katanya ketika majlis Pra Pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pelancongan Daerah Pontian, kelmarin.


Hadir sama, Pegawai Daerah Pontian, Mohd Shukri Mohd Masbah, Pengarah Tourisme Johor, Abdul Malik Ismail, wakil Persatuan Pelancongan Johor (JTA), Chua Poh Kok dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Daerah Pontian, Selamat Othman.


Siew Kiong berkata, penambahan kemudahan bilik penginapan juga menjadi faktor pelancong datang ke daerah ini.


Katanya, bagi menjamin kedatangan pelancongan secara berterusan, Jawatankuasa Pelancongan Daerah perlu merancang untuk  mengadakan focus grup bagi merangka Pelan Induk Pelancongan sebenar.


Menurutnya, dengan ikonik Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) dan Taman Negara Johor Pulau Kukup (TNJPK) yang berstatus Ramsar merupakan keistimewaan jarang ditemui tempat lain.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]