Peneroka bimbang kes jenayah kerap berlaku

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


GEMAS – Peneroka di Felda Gugusan Jelai, di sini, bimbang dan gusar apabila kes membabitkan pecah rumah, cubaan pecah rumah serta kecurian termasuklah curi hasil tanaman semakin kerap berlaku sejak sebulan lalu.


Salah seorang mangsa, Ab Samit Abdullah, 65, berkata, sebaik mendengar kes kecurian dan pecah rumah berkenaan, dia dan isteri sentiasa berhati-hati bagi mengelak daripada menjadi mangsa.


Menurutnya yang juga Bendahari Masjid di Jelai 3, namun kediamannya dimasuki pencuri ketika dia menunaikan solat Subuh berjemaah Khamis lalu dan menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.


“Pintu tak berkunci sebab kebiasaannya saya pastikan pintu sentiasa berkunci. Masa kejadian, isteri saya berada di dalam tandas.  Sebaik saya pulang, saya dapati barangan milik isteri yang diletakkan di dalam bilik sudah lesap.


“Pencuri dipercayai masuk melalui pintu hadapan rumah dan keluar melalui pintu di bahagian dapur. Antara barang yang hilang ialah dua buah telefon bimbit, barangan kemas peninggalan mertua yang disimpan isteri dan wang tunai RM500,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.


Ab Samit berkata, susulan kejadian jenayah kecurian dan cubaan mencuri semakin kerap, Pemuda UMNO dan Persatuan Belia setempat memberikan khidmat secara sukarela untuk membuat rondaan di sekitar felda itu.


“Penduduk di felda ini sekarang sudah melebihi 10,000 orang dan bilangan anggota polis di Pondok Polis Jelai hanyalah seramai dua orang.


“Oleh itu, kita sebagai penduduk memohon kepada pihak berkuasa untuk membantu kita mengatasi masalah ini dengan meningkatkan lagi rondaan,” katanya.


Difahamkan, selain kediaman penduduk, premis perniagaan dan kompleks perumahan guru juga menjadi sasaran pencuri.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]