'Tak sembunyi apa-apa'

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri tidak menyembunyikan apa-apa daripada rakyat dalam isu pemansuhan Hutan Simpan Kekal yang dibangkitkan pembangkang.


Exco Kerajaan Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sebenarnya cuba membangkitkan kembali isu yang telah dijawab itu kerana mahu menghasut rakyat membenci kerajaan.


Katanya, untuk makluman sebenarnya tiada mana-mana tanah yang diberikan kepada kroni mahupun dijual untuk mendapatkan dana PRU14 seperti yang didakwa.


“Tanah-tanah yang dimansuhkan sebagai Hutan Simpan Kekal adalah untuk tujuan pertanian dan kawasan Orang Asli termasuk juga untuk bantuan kepada sekolah Cina (SUWA), Tamil dan kepada Maipk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk).


“Tidak ada seinci pun Hutan Simpan Kekal yang dimansuhkan diberi kepada mana-mana individu atau syarikat persendirian,” katanya, kepada dalam sidang media, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Koo Ham, semalam bahawa kerajaan negeri cuba menyembunyikan sesuatu kepada rakyat kerana pemansuhan warta didakwanya dibuat secara tergesa-gesa.


Saarani berkata, pemansuhan itu tidak dibuat dalam keadaan tergesa-gesa seperti didakwa sebaliknya ia mengikut prosedur biasa.


Katanya, keputusan untuk memansuhkan Hutan Simpan Kekal itu dibuat pada November 1998 melibatkan kawasan seluas 4,418.2 hektar (11,045.5 ekar) bagi Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Pondok Tanjung, Hutan Simpan Bubu dan Hutan Simpan Bukit Larut.


“Bagaimanapun, kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengurang kawasan pemansuhan hanya kepada hanya 9,506.14 ekar (3,802.5 hektar) dan telah diwartawan pada 15 Februari 2018 setelah diukur semula.


“Tanah-tanah ini sudah diteroka lama dan tak ada pokok balak pun di situ. Jadi pembatalan kawasan simpanan hutan ini dibuat bagi tujuan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok,” katanya.


Menurut Saarani, tujuan pemansuhan itu bagi memberi peluang kepada peneroka untuk menjalankan kegiatan pertanian secara sah selain kerajaan negeri turut mendapat hasil dari cukai dan premium tanah.


Sementara itu, mengenai senarai individu yang menerima tanah terbabit, beliau berkata, ia masih belum diputuskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan kerana pemberian tanah perlu melalui proses yang ditetapkan.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]