TFCII baiki kedudukan carta liga

in Sukan by


PASUKAN Terengganu FC II (TFC II) berjaya memanfaatkan aksi di gelanggang sendiri dengan meraih tiga mata penuh selepas mengetepikan saingan Johor Darul Ta’azim II (JDT II), 2-1 dalam aksi saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.


Kejayaan itu sekaligus menyaksikan skuad TFC II itu memperbaiki kedudukan carta liga di tangga kesembilan dengan mengutip tujuh mata selepas mengharungi tujuh perlawanan.


Pengendalinya, Mustaffa Kamal Abdul Wahab mengakui gembira dengan kemenangan itu sambil menyifatkan anak buahnya berjaya melaksanakan tanggung jawab mereka dengan cemerlang sekaligus meraih kemenangan kedua buat pasukan.


Menurutnya, penampilan beberapa pemain muda pada perlawanan itu juga telah menunjukkan peningkat amat membanggakan apabila berjaya berfungsi dengan baik membantu rakan-rakan sepasukan.


“Malah penampilan pertama Muhammad Zuasyraf Zulkiefle yang menggantikan Mohd Sharin Sapien juga dibelenggu kecederaan juga telah menunjukkan kematangan, selain keserasian Mohd Radhi Mohd Yusof yang dibawa daripada skuad TFC  turut membantu menjaringkan gol kemenangan.

Pemain muda tuan rumah, Mohammad Rahmat Makasuf cuba melepasi halangan yang dilakukan pemain JDT II pada aksi babak pertama perlawanan.


“Jadi pujian seharusnya diberikan kepada mereka yang dilihat begitu komited dalam memastikan pasukan berjaya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri,” katanya.


Pada perlawanan itu menyaksikan kem tuan rumah bermula garang apabila terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi percubaan tepat Sebastien Maurice Thuriere seawal minit ketiga, namun mudah dinafikan penjaga gol JDT II.


Begitupun, TFCII memperoleh gol pertama hasil jaringan sendiri pertahanan kiri JDT II, Muhammad Fazly Mazlan yang tertampan bola hantaran lintang pemain sayap TFCII, Mohammad Rahmat Makasuf yang gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haziq Nadli pada minit ke-23.


Bersambung babak kedua, kem pelawat berjaya mengikat kedudukan menerusi jaringan Muhamad Hadifayyadh Abdul Razak pada minit ke-68 selepas bijak memanfaatkan  hantaran kemas  pemain gantian Syahrul Azwari Ibrahim.


Jaringan penyamaan itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila Muhammad Radhi Mohd Yusof kembali membawa kem tuan rumah di depan selepas bijak menanduk masuk sepakan penjuru yang dilakukan dengan cemerlang Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar untuk gol kemenangan TFC II  pada minit ke-77.


Pemain manfaat situasi ‘set-piece’


Mengulas gol kemenangan yang berpunca daripada ‘set-piece’ itu, Mustaffa Kamal berkata, sememangnya mereka sudah melakukan perancangan sekiranya situasi itu terjadi dan pemain berjaya melaksanakan dengan baik dan membuahkan hasil membanggakan


Katanya, jika  sebelum ini mereka sering terperangkap dengan situasi itu sehingga memberikan gol mudah buat lawan, kini giliran TFC II pula memanfaatkannya dengan jaringan gol.


“Secara kesuluruhannya saya cukup berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjolkan pemain walaupun ada beberapa pemain yang masih bergelut dengan prestasi masing-masing.


“Apa pun saya harap kemenangan ini mampu menyuntik semangat pasukan dalam meneruskan rentak kemenangan mereka untuk mengharungi baki saingan pusingan pertama dengan keputusan memberangsangkan nanti,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]